Log Masuk

live chat

Laman Rujukan

                 

PENGENALAN PERLIS MAJU 2015


1) Apakah konsep Perlis Maju 2015?
Visi Perlis Maju 2015 yang digubal pada tahun 2005 merupakan matlamat penting dalam menentukan prestasi pembangunan sosio-ekonomi Perlis ke arah mengiringi pencapaian Wawasan 2020. Sebenarnya definisi ‘negeri maju’ adalah subjektif dan pelbagai. Berdasarkan definisi oleh Organisation for Economic Co-operation (OECD), sesebuah negara atau wilayah dikategorikan maju sekiranya rakyatnya berpendapat sedemikian. Oleh yang demikian, tahap persepsi atau keyakinan rakyat terhadap tahap pembangunan merupakan tanda aras penting dalam menilai pencapaian kemajuan sesebuah negara atau negeri.

Pencapaian Perlis Maju 2015 meliputi tahap kemajuan dalam lima (5) aspek utama iaitu ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran kerajaan. Di antara komponen dalam aspek-aspek berikut meliputi:-

  • Sistem penyampaian pentadbiran yang cekap dan berkesan;
  • Prestasi ekonomi yang memberangsangkan;
  • Jurang pendapatan saksama;
  • Kadar pengangguran, kemiskinan dan inflasi yang rendah;
  • Penglibatan wanita sebagai pembuat dasar;
  • Pekerja berpengetahuan;
  • Taraf hidup berkualiti;
  • Persekitaran sosial yang selamat, aman dan tenteram;
  • Sistem infrastruktur lengkap dan moden; dan
  • Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Kita percaya jika kita dapat merealisasikan kesinambungan komponen di atas, maka kita berada dalam zon yang cukup positif serta realistik.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

2) Usaha Kerajaan Negeri menganjurkan Seminar Perlis Maju 2015 pada 23 hingga 24 Ogos 2011 lalu di Hotel Seri Malaysia Kangar.
Program ini bertujuan untuk memberikan penerangan dan pemahaman kepada semua peringkat kumpulan mengenai metodologi pelaksanaan dan indikator pengukuran yang akan digunapakai bagi mendapatkan pengiktirafan negeri berstatus maju. Bersandarkan objektif tersebut, jemputan ke program tersebut adalah terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuklah pemimpin politik, institusi kerajaan, JKKK, badan berkanun, institusi pengajian tinggi, agensi swasta dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Mengenai pengisian program, majlis tersebut akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Md. Isa bin Sabu, Menteri Besar Perlis. Di samping itu, Kerajaan Negeri turut mengundang khas lima (5) penceramah iaitu :-
i. Pembentangan 1
Tajuk : Ke Arah Perlis Maju
Oleh : YBM Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Ibni AlMarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

ii. Pembentangan 2
Tajuk : Perspektif Negara Maju
Oleh : Dr. Abdul Halim bin Mohamed dari Universiti Utara Malaysia

iii. Pembentangan 3
Tajuk : Petunjuk Ekonomi / Sosial Negeri Maju
Oleh : Encik Allauddin bin Anuar dari Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri

iv. Pembentangan 4
Tajuk : Melaka Maju 2010 : Berkongsi Pengalaman
Oleh : YB Senator Datuk Akbar Ali dari Melaka

Moderator : Brig Jen Prof Dato' Dr. Kamarudin bin Hussin
Naib Canselor, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Program juga melibatkan sesi percambahan fikiran melalui bengkel yang akan disertai oleh peserta-peserta seminar yang terpilih.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

3) Apakah kriteria atau indikator pengukuran dalam penilaian Perlis Maju 2015?
Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Inter Agency Planning Group (IAPG) Perlis Maju 2015 bagi menentukan indikator-indikator yang perlu dipatuhi berasaskan piawaian antarabangsa untuk Perlis diiktiraf sebagai negeri maju. Jawatankuasa tersebut meliputi tujuh (7) sektor iaitu :-

i. Ekonomi Makro;
ii. Infrastruktur & Utiliti;
iii. Pembangunan Sosial;
iv. Pembangunan Modal Insan;
v. Alam Sekitar;
vi. Pentadbiran Kerajaan; dan
vii. Keindahan Fizikal.

Setiap Jawatankuasa diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan keahlian terdiri daripada jabatan/agensi Kerajaan dan sektor swasta berkaitan.

Daripada tujuh (7) IAPG tersebut, sejumlah 67 indikator penilaian telah dikenal pasti. Pemilihan indikator-indikator tersebut akan dimuktamadkan semasa sesi pembentangan bengkel Perlis Maju 2015 yang akan diadakan pada 24 Ogos 2011.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
4) Adakah prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perlis yang rendah akan menjejaskan pencapaian status negeri maju pada tahun 2015?
Sebenarnya pertumbuhan KDNK yang tinggi tidak mencerminkan taraf kemajuan dan kebajikan rakyat akan turut meningkat. Sebagai contoh, prestasi KDNK bagi Amerika Syarikat dan negara-negara Timur Tengah adalah memberangsangkan tetapi situasi sosio-ekonomi masa hadapan di negara berkenaan begitu membimbangkan. Kadar pengangguran, jurang pendapatan, gejala social, jenayah, pencemaran alam sekitar, kos sara hidup, kadar kemiskinan dan kadar hutang individu masih di tahap yang tinggi.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

5) Harapan berhubung Visi Perlis Maju 2015?
Tempoh empat tahun yang mendatang merupakan cabaran getir yang akan menguji kemampuan kita untuk mencapai matlamat yang disasarkan. Justeru itu, kerjasama penuh dan komitmen jitu daripada setiap agensi kerajaan, swasta dan semua rakyat Perlis bagi menyumbang ke arah pencapaian Visi Perlis Maju 2015. Majunya sesebuah negeri itu akan dapat ditentukan dengan keupayaan rakyatnya untuk berganding bahu memikul tangggungjawab dan bersedia dari semua aspek dalam menghadapi cabaran mendatang. Kita yakin dengan momentum sedia ada dan komitmen ditunjukkan oleh kalangan masyarakat akan berlaku anjakan paradigma. Ini adalah satu perubahan yang terancang dan perancangan kita adalah demi keunggulan negeri Perlis. Kalau dikatakan kita kesuntukan masa, mungkin ya tetapi kita masih belum terlambat. Insya Allah, berkat kerjasama ikhlas dan daya usaha secara kolektif oleh semua pihak, Visi tersebut akan direalisasikan dengan jayanya. Kita boleh lakukannya.

WE ARE ONE, WE ARE TOGETHER, ONE PERLIS AND PERLIS NUMBER ONE.