Log Masuk

live chat

Laman Rujukan

                 

ALUAN YAB MENTERI BESAR PERLIS



    Visi Perlis Maju 2015 merupakan hala tuju pembangunan Perlis untuk menjadi sebuah negeri berstatus maju menjelang tahun 2015. Dalam konteks untuk menjayakan visi tersebut, pelbagai aspek pembangunan perlu dicapai secara seimbang dan menyeluruh meliputi aspek ekonomi, pentadbiran dan sosial. Tanpa meniru negara-negara yang lain, Perlis masih boleh menjadi negeri maju berasaskan acuan sendiri. Kita tidak mahu Perlis menjadi seperti sesetengah wilayah di mana ekonominya berkembang maju tetapi kemajuan tersebut turut mengorbankan moral dan jati diri masyarakatnya.

    Anda mungkin bertanya, “apakah itu negeri maju”? Adakah kita mahu menjadikan Perlis seperti Singapura, Jepun, Finland, United Kingdom atau Amerika Syarikat? Sebenarnya pengertian ‘maju’ adalah subjektif dan meluas iaitu berdasarkan persepsi sesebuah masyarakat. Bagi sesetengah kelompok masyarakat, ‘maju’ bermaksud jika mereka dibekalkan dengan keperluan asas, itu sudah dikira maju. Selain itu, terdapat juga tanggapan ‘maju’ apabila prestasi ekonomi mencapai tahap yang memberangsangkan walaupun pada masa yang sama kadar jenayah dan krisis sosial turut meningkat.

    Kemajuan sesebuah wilayah tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi semata-mata tetapi turut memberi penekanan penting kepada aspek sosial dan kerohanian masyarakatnya. Kita boleh melihat kepada negara-negara di timur tengah yang dikurniakan kekayaan sumber minyak yang sangat banyak dan menikmati KDNK perkapita yang sangat tinggi tetapi tiada di antara negara berkenaan tersenarai sebagai negara maju. Hal ini kerana terdapat lain-lain aspek kemajuan yang masih belum dicapai seperti agihan pendapatan, kekurangan R&D, kecekapan kerajaan, kestabilan politik, keselamatan dan kebajikan sosial.

    Justeru, untuk mencapai matlamat menjadi negeri maju, semua aspek pembangunan perlu diberi keutamaan dan meliputi aspek sosial, ekonomi, pentadbiran, alam sekitar dan kebudayaan. Kita boleh menetapkan banyak indikator-indikator penilaian tertentu untuk dicapai. Walau bagaimanapun, pra syarat utama untuk menentukan kemajuan adalah berasaskan mentaliti atau tahap pemikiran masyarakat. Adalah mustahil untuk bergerak ke arah kemajuan sekiranya mentaliti masyarakat masih dibelenggu masalah kebersihan, malas bekerja, kurang integriti dan terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

    Untuk menjadi negeri maju, Perlis tidak boleh ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Kemajuan Perlis perlu didorong melalui produktiviti yang lebih tinggi. Sebagai negeri yang kurang mempunyai kekayaan sumber, rakyat mesti faham peranan mereka, khususnya yang berkaitan dengan produktiviti. Kelebihan ekonomi yang dimiliki seperti Harumanis, sumber perikanan, mineral dolomite dan keunikan produk-produk pelancongan perlu dieksploitasi sepenuhnya untuk mewujudkan nilai ditambah. Untuk itu, semua pihak termasuk sektor swasta dan rakyat perlu bertindak segera. Kita mesti berusaha ke arah kecekapan, pemodenan dan persaingan untuk meningkatkan produktiviti negeri. Jika kita tidak melakukan ini, kita akan ketinggalan jauh.

    Adalah menjadi harapan besar saya semoga visi ini menjadi asas lonjakan bagi kita sama-sama mengatur strategi dan inisiatif ke arah memastikan Perlis mencapai pengiktirafan negeri berstatus maju pada tahun 2015. Tempoh tiga tahun yang mendatang merupakan cabaran getir yang akan menguji kemampuan kita untuk mencapai matlamat yang disasarkan. Oleh yang demikian, saya memohon kerjasama penuh dan komitmen jitu daripada setiap agensi kerajaan, swasta dan segenap peringkat rakyat bagi menyumbang ke arah pencapaian Visi Perlis Maju 2015. Insya Allah, berkat kerjasama ikhlas dan daya usaha secara kolektif semua pihak, Visi tersebut akan direalisasikan dengan jayanya.

    Saya percaya terdapat di kalangan kita yang merasa pesimis atau ragu-ragu di atas kemampuan Perlis menjadi negeri maju pada tahun 2015. Apabila perjalanan kita semakin sukar dan mencabar, kita tidak boleh berpatah balik. Kita tidak ada pilihan lain kecuali terus berani, produktif dan lebih bersaing untuk menuju ke destinasi dengan penuh kebanggaan dan rasa hormat. Insya Allah, kita akan berjaya.